Monday 16 July 2012

Kompetensi Emosi


Kecerdasan emosi (EQ) adalah kemampuan untuk mengawal dan mengelolakan diri sendiri dan orang lain dari aspek perasaan, emosi dan tingkah laku. Kecerdasan emosi juga merupakan tindakan dan kepintaran untuk mengubahsuai sesuatu tingkah laku yang bersesuaian dengan masa dan keadaan. Daniel Goleman(1998) telah mendefinisikan EQ sebagai kemampuan untuk mengenal pasti perasaan sendiri dan orang laim untuk memotivasikan diri dan juga mengurus emosi diri dalam menjaga hubungan dengan orang lain. Mengikut Danial Goleman, EQ ialah prasyarat untuk keberkesanan kecerdasan intelek (IQ). Maksudnya, IQ kita tidak akan berfungsi dengan baik sekiranya bahagian otak kita rosak daripada kecacatan emosi. Beliau menyatakan penilaian seseorang individu bukan sahaja diasaskan kepada IQ tetapi yang lebih penting ialah EQ kerana EQ meninggalkan kesan yang mendalam dalam keseluruhan aspek dalam kehidupan seseorang individu.
Goleman membahagikan konsep kecerdasan emosi kepada lima komponen utama iaitu tiga komponen yang berbentuk kompetensi personal dan dua komponen yang berbentuk kompetensi sosial. Kompetensi personal merangkumi kesedaran kendiri, pengurusan emosi kendiri dan motivasi diri manakala kompetensi sosial merangkumi kesedaran emosi sosial dan kemahiran sosial.
Dalam kesedaran kendiri merangkumi kecerdasan emosi kendiri, ketepatan penilaian emosi kendiri dan keyakinan kendiri. Kecergasan emosi kendiri mengenal emosi, sebab, perkaitan, pengaruh  dan kesannya, ketepatan penilaian kendiri mengetahui kekuatan dan kelemahan diri seseorang manakala keyakinan kendiri bergantung pada keupayaan kendiri, berketerampilan, berani menyuarakan pandangan, dan membuat keputusan. Dari segi pengurusan emosi kendiri pula mengandungi kawalan kendiri, iaitu mampu mengurus emosi yang distruktif, amanah, ketekunan, kebolehsuaian dan juga inovasi. Terdapat beberapa elemen dalam kecekapan motivasi diri, iaitu pencapaian, komitmen, inisiatif dan optimisme.
Dalam kompetensi sosial termasuklah kesedaran emosi sosial dan kemahiran sosial. Seseorang individu harus sedar dan mengambil berat tentang perasaan orang lain dan kehendak perasaan tersebut. Seseorang juga harus sentiasa empati, iaitu dapat mengesan perasaan orang lain, memahami perspektif orang lain dan berminat untuk membantu memenuhi keperluan tersebut. Selain itu, kesedaran organisasi juga merupakan salah satu unsur yang penting dalam kesedaran emosi sosial. Dengan ini, seseorang mampu membaca situasi semasa dalam organisasi, jaringan, dan politik di peringkat organisasi. Dalam orientasi perkhidmatan organisasi pula, seseorang itu dapat menangani, mengenalpasti, dan memenuhi keperluan pelanggan. Kemahiran sosial merupakan kemampuan seseorang mengenal pasti cara-cara yang sesuai  untuk mengurus semua bentuk hubungan dengan orang lain. Dalam konteks ini, kemahiran sosial merangkumi kepimpinan berinspirasi, berupaya mempengaruhi dan memperkembangkan orang lain.

No comments:

Post a Comment