Monday 17 September 2012

refleksi tahap kompetensi kecerdasan emosi watak-watak utama dalam filem


Saya telah menghayati filem Ombak Rindu dan saya dapat mengenalpasti beberapa situasi yang mencabar yang telah dihadapi oleh watak-watak dalam filem ini. Filem ini mempunyai 3 watak penting iaitu Hariz sebagai watak utama, isteri Hariz, Izzah dan ibu Hariz, Datuk Sufiah. Ketiga-tiga watak ini telah memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan jalan cerita filem ini.
            Dalam filem ini, Hariz digambarkan sebagai seorang yang mempunyai tahap kesedaran kendiri yang tinggi dan positif. Sebagai watak utama, Hariz telah mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi. Antaranya ialah emosi marah. Dalam filem ini, Hariz telah dapat mengawal perasaan marahnya dengan baik supaya tidak membawa kepada kesan buruk yang lebih serius. Hal ini dapat dilihat dalam situasi apabila dia mendengar fitnah bahawa isterinya, Izzah curang kepada dia. Dia berasa marah kepada Izzah dan telah menggantung hubungan suami isteri dengan Izzah. Perwatakannya yang panas baran digambarkan telah mengurus emosi dengan baik kerana dia tidak pukul atau marah Izzah dengan kata-kata yang kesat. Tambahan pula, Hariz turut dapat mengawal emosi terkejut dengan baik. Hal ini dapat dilihat dalam situasi apabila dia mengetahui bahawa dia bukan anak kandung ibunya. Dia dapat mengawal emosinya dengan baik dan menerima hakikatnya.
            Izzah dalam filem ini pula digambarkan sebagai seorang yang mempunyai tahap kesedaran kendiri yang tinggi. Pada mulanya, Izzah telah dibeli oleh Hariz untuk dijadikan wanita simpanannya. Namun, Izzah telah merayunya supaya menikahkannya untuk menghalalkan hubungan mereka. Walaupun berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak dikenali, Izzah tetap bersyukur kepada Tuhan dan telah melaksanakan kewajipannya sebagai seorang isteri dengan baik. Izzah turut menghadapi dugaan apabila Hariz menggantungkan hubungan mereka kerana Hariz anggap Izzah berlaku curang kepadanya. Izzah telah berupaya menjelaskannya namun Hariz langsung tidak mendengar penjelasannya. Walau bagaimanapun, Izzah tetap berasa syukur kepada Tuhan kerana dia telah mengandung anak Hariz. Setelah Hariz mendapati bahawa dia telah menyalah Izzah dan telah mencari Izzah di kampungnya, Izzah telah memaafkannya dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
            Namun, bagi watak ibu Hariz, Datuk Sufiah, dia mempunyai tahap kesedaran kendiri yang rendah dan negatif. Apabila dia mendapati bahawa anaknya sudah berkahwin dengan Izzah, seorang anak kampung yang miskin, dia telah menggunakan beberapa helah untuk memisahkan Hariz dengan Izzah. Hal ini demikian kerana dia inginkan anaknya, Hariz berkahwin dengan Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan. Lantaran itu, semasa Hariz koma, dia telah halau Izzah dari rumah Hariz dan merampas telefon bimbit Izzah. Apabila Hariz sedar, dia pula memitnah bahawa Izzah seorang yang mementingkan harta kebendaan dan telah curang kepada Hariz. Dalam filem ini, ibu Hariz juga telah menggunakan helah tipu diri untuk menghadapi masalah yang dihadapinya. Apabila dia mendapati bahawa Hariz bukan anak kandungnya, dia telah menipu dirinya bahawa itu bukan hakikat sebenar. Malahan, dia telah menuduh Pak Dolah yang menipu. Setelah Pak Dolah menunjukkan surat yang ditulis oleh suaminya, dia masih menipu dirinya bahawa segala ini bukan hakikat.
            Kepelbagaian emosi yang dihadapi oleh setiap watak dalam filem ini begitu menguji cara pengurusan emosi dengan tepat. Keseimbangan dan kewujudan kepelbagaian emosi positif dan negatif yang dihadapi oleh watak-watak dapat dilihat menerusi filem ini. Tahap kecerdasan emosi yang berbeza-beza antara watak memperlihatkan lagi keseimbangan dan keunikan jalan cerita filem Ombak Rindu.

No comments:

Post a Comment